Tuesday, 16 December 2014

Selalu Bersama

Teks : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum sahabat semua. Apa anda rasa hari ini? Rasa kosong dalam jiwa? Lirik dalam lagu ni In Sya Allah dapat membantu. Lagu ni antara lagu yang suami saya selalu pasang dalam kereta. Kandungan lirik lagu ini pada saya memberi banyak manfaat kepada kita terutamanya dalam mengingati sang pencipta. Lirik ini diperoleh dari laman blog Nurul Hidayah. Lagu ini didendangkan oleh Imam Muda Nazrul, Imam Muda Fakhrul ft Fakhrul UNIC. Jom kita semak liriknya sama-sama...

Tajuk Lagu : Selalu Bersama
Genre : Nasyid

Andai kau rasa indahnya cinta
Kau ingin selalu bersama
Setiap saat , setiap waktu
Seakan tidak jemu
Begitulah jiwa yang kekosongan
Iman jangan dipisahkan

Allahumma ahyina bil iman
Allahumma amitna bil iman
Allahumma syurna bil iman
Wa adkhilna jannata ma'al iman

Ya Allah hidupkan kami dengan iman
Ya Allah matikan kami dalam iman
Ya Allah bangkitkan kami dengan iman
Dan masukkan ke syurga-Mu dengan iman

Saat kau hadir memberi kekuatan
Membakar semangat perjuangan
Jagalah dia , Hiasilah dia
Akan sentiasa bersedia

Allahumma ahyina bil iman
Allahumma amitna bil iman
Allahumma syurna bil iman
Wa adkhilna jannata ma'al iman
Ya Allah hidupkan kami dengan iman
Ya Allah matikan kami dalam iman
Ya Allah bangkitkan kami dengan iman
Dan masukkan ke syurga-Mu dengan iman

Terkadang selalu leka dan alpa
Itu lumrah manusia
Segeralah mohon taubat pada-Nya
Keampunan juga keredhaan

***

Allahumma ahyina bil iman
Allahumma amitna bil iman
Allahumma syurna bil iman
Wa adkhilna jannata ma'al iman
Ya Allah hidupkan kami dengan iman
Ya Allah matikan kami dalam iman
Ya Allah bangkitkan kami dengan iman
Dan masukkan ke syurga-Mu dengan iman

Muhasabah Cinta

Teks : Aida Ilyani Ali
Sumber Lirik : http://liriknasyid.com

Assalamualaikum, rata-rata antara kita meminati muzik. Saya juga minat muzik. Di sini saya ingin berkongsi lirik lagu bergenre nasyid yang boleh dijadikan tips kehidupan kita. Jom Muhasabah Cinta...

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Back to Reff.

Nota : Sangat dalam bicara lirik ini. Sebagai hamba kita selalu terlupa tentang pemberianNya. Bila ditimpa musibah baru beringat. Peringatan untuk diri dan semua yang disayangi...

Monday, 15 December 2014

Trip Ke Bandaraya Johor Bahru Menaiki Bas Secara Percuma

Teks : Aida Ilyani Ali
Foto : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum sabahat semua, hari ini saya ingin berkongsi mengenai trip saya bersama anak-anak dan mak ke Bandaraya Johor Bahru menaiki bas percuma. Mak yang beriya-iya sangat nak membawa cucu-cucunya merasai pengalaman menaiki bas. Kami menaiki Bas Bandaraya yang tambangnya adalah percuma. Bas Bandaraya ini dikelola oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru. Pada pagi hari tersebut, anak-anak saya bersemangat bangun awal dan bersiap kerana teruja untuk menaiki bas. Nenek mereka telah memaklumkan berkenaan trip ke bandaraya dengan menaiki bas pada hari sebelumnya. Hari itu atuk mereka menghantar kami ke Terminal Bas Larkin menaiki kereta baru Uncle Chad. Kakak cakap "Mama, jangan lupa bawa bekal, Aleesya nak makan bekal dalam bas". Ha, tergelak Mama dengar. Mentang-mentang la Papa bawa bekal setiap hari, dia pun nak bawa bekal.

Sunday, 14 December 2014

Tips menulis Penulisan Ilmiah - Tips untuk rakan pelajar

Teks : Aida Ilyani Ali


Assalamualaikum rakan pembaca sekalian. Hari ini saya ingin berkongsi ilmu mengenai tulisan ilmiah. Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang seni silat, saya telah membuat kajian berkaitan kemahiran insaniah dan silat. Alhamdulillah, kajian ini telah di bentangkan di satu persidangan di Indonesia oleh penyelia saya, iaitu Dr Ahmad Esa. Beliau banyak membantu saya dalam mendalami kaedah menulis penulisan ilmiah ini. Beliau tegas dalam memberi tunjuk ajar berkaitan penulisan ilmiah, namun ilmu yang diberikan sangat berbekas di hati saya. Anak-anak saya juga tidak ketinggalan bersama dengan beliau yang di gelar "Atuk". Mana tidaknya, setiap kali pertemuan dengan beliau mereka tidak akan ketinggalan ikut mama masuk dalam pejabat dari bayi hinggalah projek akhir saya siap sepenuhnya.



Pengalaman dalam membuat tulisan ilmiah bergenre kajian sains sosial ini memberi banyak pengajaran buat saya. Daripada pengalaman ini, banyak perkara baru tentang ilmu penulisan diperoleh. Walaupun ilmu dalam penulisan ini sangat sedikit, namun saya harap catatan mengenai tips menulis dan membuat kajian ilmiah ini dapat digunakan oleh rakan-rakan yang masih tercari-cari punca untuk memulakan penulisan ilmiah terutamanya dalam bentuk thesis dan laporan projek akhir. Terdapat pelbagai kaedah penulisan ilmiah mengikut jenis kajian yang hendak dijalankan. Perkara-perkara asas yang perlu dilakukan sebelum memulakan suatu penulisan ilmiah ialah :
  1. Memilih tajuk kajian
  2. Mencari maklumat berkaitan tajuk
  3. Menentukan pernyataan masalah berdasarkan tajuk
  4. Membuat kerangka esei
  5. Membuat nota ringkas berkaitan tajuk mengikut susunan (bagus dibuat dalam bentuk jadual)
  6. Membuat senarai semak
  7. Menulis lakaran penulisan pertama
  8. Menyemak senarai semak penulisan
Selepas semua perkara di atas dipatuhi, anda bolehlah memulakan penulisan anda. Berdasarkan pengalaman saya, bagi rakan-rakan yang belum pakar membuat penulisan ilmiah dan ingin berjaya dalam penulisan ilmiah ini anda perlu :

1. Dapatkan nasihat pensyarah pembimbing
Berjumpa pensyarah pembimbing merupakan perkara yang sangat perlu dilakukan oleh setiap pelajar kerana setiap pensyarah mempunyai pandangan berbeza mengenai kajian ilmiah. Ada yang gemar kajian berbentuk kualitatif, ada yang sukakan kajian berbentuk kuantitatif, ada yang memang seorang yang berpegang pada kaedah eksperimental sahaja dan ada yang suka kaedah gabungan. Cara penulisan kajian biasanya bergantung kepada kaedah kajian dijalankan. Biasanya pensyarah akan memandu pelajar di bawah bimbingannya mengikut gaya mereka. Untuk berjaya, sentiasalah berjumpa dengan pensyarah pembimbing anda. Mereka juga biasanya akan memberi semangat dan motivasi kepada anda supaya berjaya. Teguran membina daripada mereka kadang-kadang pahit untuk diterima tetapi itulah yang akan membantu anda. Lagipun, mereka penentu markah anda.

2. Sentiasa merujuk pada yang pakar
Walaupun anda merasakan bahawa penulisan anda sudah cukup kuat, anda harus juga berjumpa dengan pakar bidang-bidang tertentu untuk mendapatkan rujukan tambahan. Jika tidak, penulisan anda akan menjadi penulisan yang tidak bermakna. Kebiasaannya orang yang pakar dalam bidang mereka ini tidak lokek ilmu, sangat suka membentangkan panjang lebar mengenai ilmunya. Lagi rajin anda berjumpa mereka, lagi banyak ilmu anda dapat. Pakar yang kita jumpa tidak semestinya pensyarah pembimbing tetapi pakar dalam bidang yang ingin dipelajari dan diterokai. Seperti pembimbing saya, beliau meminta kami di bawah kelolaannya berjumpa sekurang-kurangnya tiga pakar untuk mengesahkan soalan soal selidik, soalan temu bual dan analisis pemerhatian.

3. Berbincang dengan rakan
Wujudkan satu kumpulan semasa membuat penulisan ilmiah. Dengan adanya kumpulan ini, anda boleh bertukar-tukar pandangan, kaedah dan bahan rujukan (Bukan bermaksud kesemua dalam kumpulan itu mempunyai isi kandungan yang sama ye). Kaedah ini diperkenalkan oleh pensyarah pembimbing saya dan pada saya kaedah ini sangat berkesan untuk diaplikasikan kepada penulis baru kerana disamping bertukar idea, setiap ahli kumpulan akan bersama-sama memberi semangat kepada semasa ahli supaya meneruskan perjuangan menyiapkan penulisan ilmiah yang sedang diusahakan.

4. Membuat lebih rujukan penulisan sebelumnya 
Anda perlu mendapatkan banyak rujukan terhadap penulisan yang berkaitan dengan tajuk yang akan anda tulis. Rujukan perlulah dari sumber berbentuk buku dan tulisan ilmiah juga. Saya akan berkongsi tips membuat rujukan ini dalam catatan akan datang. Rujukan yang dibuat bolehlah dimasukkan ke dalam Kajian Literatur anda. Mulakan pencarian rujukan daripada tajuk yang umum kepada tajuk kajian yang lebih khusus. Ini membolehkan setiap perenggan berkait dan jelas. Selain itu, rujukan mengenai kaedah kajian, kerangka teori dan kerangka konsep kajian yang ingin dipilih perlu juga didapatkan. Perkara ini penting kerana rujukan dan dapatan daripada rujukan inilah yang menentukan hala tuju kajian dan penulisan anda.

5. Minta bantuan pelajar senior 
Walaupun saya diberi bimbingan oleh pensyarah pembimbing, beliau juga telah menyarankan saya berjumpa dengan beberapa pelajar senior yang sedang membuat laporan projek akhir di bawah selian beliau untuk mendapatkan maklumat dan tunjuk ajar yang lebih mendalam mengenai kaedah penulisan dan kajian yang mereka buat. Perkara ini sangat merumitkan saya pada ketika itu kerana saya tidak tinggal di kampus dan belajar secara separuh masa. Namun, setiap nasihat pensyarah itu ada baiknya. Banyak tips dan ilmu yang saya perolehi daripada mereka. Belajar bersama rakan pelajar lebih santai berbanding dengan pensyarah. Istimewanya kami dapat bertukar-tukar bahan rujukan (bukan tiru rujukan mereka bulat-bulat).

Di sini saya sertakan beberapa bahan rujukan yang boleh digunakan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai tulisan ilmiah  :
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan dapat membantu rakan-rakan sekalian membuat satu penulisan yang baik dan mantap. Usaha, berjaya...

Saturday, 13 December 2014

Apam balik mudah dan lazat

Teks : Aida Ilyani Ali
Foto : Aida Ilyani Ali


Assalamualaikum pembaca setia diari masakan saya. Hari ini kita berbicara mengenai apam balik pula. Apam balik merupakan makanan yang tidak asing lagi buat masyarakat kita. Biasanya apam balik boleh diperolehi dari pasar malam, pasar tani dan peniaga bermotor. Oleh kerana anak-anak dan suami sukakan apam balik, saya terpanggil untuk membuat apam balik ini di rumah.
Pencarian resepi mudah dan lazat berakhir juga apabila saya menjumpai resepi yang dipaparkan oleh blog Fiza's Cooking yang diadaptasi dari 1 buku 1 Resepi oleh Chef Hanieliza. Resepi ini juga boleh dijumpai di blog Hanieliza Cooking. Saya dah cuba. Memang mudah dan pasti jadi, in sya Allah.





Bahan-bahan :

Bahan A
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan gula
  • 4 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil garam
Bahan B
  • 2 cawan susu segar atau 1 cawan susu cair + 1 cawan air
  • 1/2 cawan minyak
  • 2 biji telur
Bahan C (Inti)
  • Gula halus
  • Kacang tanah kisar
  • Jagung krim dalam tin



Cara penyediaan :

  1. Gaulkan semua bahan A.
  2. Masukkan semua bahan B dalam blender .
  3. Masukkan bahan A dalam blender dan mesinkan.
  4. Panaskan non-stik pan dan sendukkan adunan.
  5. Tutup pan dan biarkan adunan setengah masak.
  6. Letakkan sedikit gula halus, kacang tanah kisar dan jagung krim di atas adunan yang sedang masak. 
  7. Lipat dan hidangkan.

Nota : Bahan C (Inti) apam balik bolehlah disesuaikan dengan selera masing-masing. Chef Hanieliza menggunakan inti chocolate chip dan jagung. Fiza pula guna jagung krim dan kacang tanah. Boleh juga guna chocolate rice untuk gantikan chocolate chip. Saya dah cuba. Selamat mencuba. Semoga memberi manfaat.

Kek Apam Dewa.. Mudah dan sedap

Teks : Aida Ilyani Ali
Foto : Aida Ilyani Ali


Assalamualaikum, lama rasanya dah tak berkongsi resepi di blog ni. Hari ini saya nak berkongsi resepi mudah untuk membuat Kek Apam Dewa. Dah lama cari resepi apam di internet ni untuk di buat sebab anak lelaki saya suka makanan yang berasaskan tepung. Kalau kek lagi lah dia suka. Dalam pencarian saya, akhirnya saya bertemu resepi ini di blog MaDiHaA aka Ratna. Terima kasih kepada MaDiHaA, Ina dan tuan punya resepi iaitu Missayu@MyR. Mohon izin salin resepi ini di blog saya pula ye. Setelah membaca resepi yang dikongsikan oleh beliau, saya rasa saya ingin mencuba resepi ini kerana ianya mudah disediakan dan tidak menggunakan banyak bahan. Saya bukanlah pakar dalam membuat kek, jadi saya cuba membuat Kak Apam Dewa ini dengan menggunakan hanya separuh adunan. Maka, bahan-bahan yang dinyatakan di bawah juga adalah separuh daripada bahan asal ye kawan-kawan. Apa lagi, jom mula buat Kek Apam Dewa...!



Apam Dewa / Bahulu Kukus

Resepi : Missayu@MyR
Sumber 1 : Ina@Pesona
Sumber 2 : MaDiHaA aka Ratna

Bahan-bahan

  • 3 biji telur
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/2 sudu besar sunquick (saya guna jus lemon segar, untuk hilangkan bau hanyir telur)
  • Pewarna (saya guna pati sirap ros je)
  • 1/2 sudu kecil ovelette (Ina dan MaDiHaA guna, saya pun guna lah juga, ;-))

Cara penyediaan

  1. Pukul telur bersama gula dan sunquick dan ovelette hingga kembang (saya blender je).
  2. Tuang aduan ke dalam bekas dan kacau perlahan.
  3. Masukan tepung sedikit demi sedikit sambil kacau rata adunan.
  4. Bahagikan adunan kepada 2 atau 3 bahagian dan masukan pewarna yang disukai. Alaskan loyang dengan plastik, kemudian masukan adunan ke dalam loyang berselang seli (saya sapu loyang dengan menggunakan butter).
  5. Kemudian kacaukan sedikit adunan yang di dalam loyang dan lorekkan corak di atas.
  6. Kukus selama 45 minit atau sehingga masak. (saya guna periuk ajaib, tutup loyang dengan plastic wrap supaya air tak jatuh atas adunan).



Inilah hasil uji kaji saya. Alhamdulillah berjaya. Kenapa nipis sangat? Separuh adunan sahaja. Jom cuba...!

Friday, 5 December 2014

Mudahnya memasak dengan hidangan "One Pot Meal"

Teks : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum kepada semua pembaca.

Hari ini saya ingin berkongsi berkenaan One Pot Meal. Apa itu One Pot Meal?
One Pot Meal ialah satu hidangan yang mengandungi semua jenis kumpulan makanan yang diperlukan oleh badan kita iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, serat dan galian. Memasak menggunakan kaedah One Pot Meal merupakan satu kaedah mudah dalam penyediaan hidangan makan tengahari atau makan malam kita. Sebenarnya, kita tidak perasan bahawa kita selalu menggunakan kaedah ini dalam penyediaan makanan. Antara masakan yang menggunakan kaedah ini ialah mi sup, mi tom yam, nasi goreng, makaroni bakar dan bubur ayam atau daging. Sebagai wanita yang mempunyai jadual harian yang ketat, kaedah one pot meal dapat menyelesaikan masalah anda. Jadualkan pelbagai masakan menggunakan kaedah ini dan anda tidak akan kesuntukan masa untuk memasak. Selain itu, kaedah ini dapat membantu anda dalam menyediakan makanan yang lebih sihat, lazat dan berkhasiat di samping penyediaannya yang mudah. Anda juga tidak perlu membersihkan banyak peralatan memasak kerana menggunakan satu periuk sahaja untuk memasak. Mudahnya memasak dengan hidangan One Pot Meal! Jom masak... 

Semoga bermanfaat untuk semua...