Sunday, 30 November 2014

Ikan Goreng Sedap

Teks : Aida Ilyani Ali

Tentunya menggoreng ikan bukanlah perkara yang asing bagi kaum ibu. Namun, bukan semua orang meminati ikan goreng. Suami saya seorang yang kurang gemar ikan goreng. Adakalanya dia sanggup tak makan jika lauk ikan goreng yang disajikan. Namun, setelah saya cuba resepi yang saya olah sendiri ini, prespektif beliau tentang ikan goreng telah berubah. Alhamdulillah. Kawan-kawan bolehlah cuba ye..


Cara penyediaan :

  1. Ikan yang digunakan ialah ikan kembong batu. Setelah disiang, kelar ikan di perutnya.
  2. Gaulkan ikan dengan sedikit garam dan kunyit.
  3. Tambah serbuk kari ayam sedikit pada ikan dan gaul sebati.
  4. Goreng ikan seperti biasa. Hidangkan panas (Kalau dah sejuk pun masih sedap, in sya Allah)




Rukun Qauli Solat


Teks : Aida Ilyani Ali

Apa tu rukun Qauli Solat? Tak tahu?Saya pun. Dah belajar tapi lupa. Manusia memang kena selalu ingat-mengingati. Rukun qauli solat ada lima. Ianya temasuk dalam 13 rukun solat yang lain menurut Mazhab Imam As-Syafie.

Rukun qauli ialah :
  1. Mengucapkan takbiratul ihram
  2. Membaca al-Fatihah
  3. Membacar Tasyahud Akhir
  4. Membaca selawat pada Tasyahud Akhir
  5. Memberi salam

Rukun qauli sempurna apabila kita membaca bacaan dalam rukun tersebut dengan kadar yang wajib dapat didengari telinga sendiri.

Untuk pemahaman yang lebih lanjut, bolehlah layari Harian Metro 29 Jun 2014 di kolum An-Nur. 

Jom kita beramal. :-)

Mak Tok

Teks : Aida Ilyani Ali

Apa pandangan anda terhadap nenek saudara anda? Istimewa? Tentu pandangan kita berbeza. Bagi saya "Mak Tok" iaitu salah seorang nenek saudara saya ini merupakan orang yang sangat istimewa di hati saya. Dialah yang bertanggungjawab menjaga saya dan adik-beradik saya yang lain sehingga dewasa. Walaupun tidak mempunyai anak sendiri, Mak Tok berjaya mendidik kami dengan baik. Saya nukilkan tulisan mengenai Mak Tok di sini supaya memori bersama beliau boleh dikongsikan dengan anak-anak saya pada masa akan datang.


Mak Tok seorang yang cerewet dan garang. Walau bagaimanapun dari beliaulah saya belajar banyak perkara. Yang paling saya ingat ialah apabila beliau mengajar saya memasak ketika umur saya 8 tahun. Antara masakan yang beliau ajar ialah sambal tumis tempe kentang, sambal tutok, sayur kobis masak lemak dan nasi goreng. Beliau juga ada mengajar saya membuat kuih tradisional seperti kuih lapis dan kuih nagasari. 

Mengimbau kenangan alam persekolahan, Mak Tok merupakan orang yang memainkan peranan penting di mana beliaulah yang mengatur semua persediaan persekolahan kami. Semasa tadika, Mak Tok akan mengambil saya dan kakak dari tadika. Mak Tok juga akan menyediakan bekal untuk saya ke sekolah agama. Mak Tok akan memastikan baju sekolah saya putih bersih. Beliau jugalah yang akan meleraikan kami adik-beradik apabila kami bergaduh. Mak Tok suka marah kami kalau apa yang kami buat itu salah di matanya, namun Mak Tok menjaga kami dengan penuh kasih sayang.

Mak Tok sebenarnya pernah berkahwin atas pilihan keluarga. Dia diceraikan oleh suaminya kerana anaknya meninggal tidak lama selepas melahirkan. Namun, semangat Mak Tok kuat. Beliaulah yang bertanggungjawab menjaga kedua orang tuanya sehingga meninggal dunia. Mak Tok selalu menceritakan pengalamannya semasa di kampung kepada kami adik-beradik. Pengalaman berharga itu pastinya kami jadikan ikhtibar dan panduan kami. 

Bila saya dan kakak sudah pandai mengaji, Mak Tok meminta kami mengajar beliau mengaji. Kredit pastinya lebih buat kakak yang dapat mengajar Mak Tok membaca Yassin. Agaknya sebab tu lah kakak dapat jadi cikgu sekarang. Kami pun sebenarnya tak tahu mengajar pada masa itu. Ye lah, apa yang kamu boleh harapkan dari budak umur 7 ke 9 tahun mengajar mengaji. Sebenarnya Mak Tok buta huruf. Kami dapati Mak Tok sebenarnya bukan membaca ayat yang ditunjuk tetapi beliau menghafal ayat tersebut. Hebatkan Mak Tok. Terang betul hatinya. 

Setiap tahun, Mak Tok akan pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat. Biasanya pada musim cuti sekolah kami adik-beradik akan bergilir-gilir menemani Mak Tok di kampung. Pengalaman yang saya tidak akan lupakan ialah apabila saya berkesempatan belajar menoreh getah semasa di sana. Selain itu, saya juga dapat keliling kampung menaiki basikal besar. Yang paling mengujakan apabila balik kampung ialah mandi di parit. Boleh buat aksi terjun-terjun lagi. 

Sekarang, Mak Tok dah tak balik kampung. Biasalah, masalah kaki tak kuat dan kurang selesa di rumah kampung menyebabkan Mak Tok tak betah lagi di sana. Saya bercita-cita merealisasikan hasrat mak untuk membawa Mak Tok ke kampung lagi apabila kemudahan di rumah usang itu diperbaiki untuk keselesaannya. Semoga Allah memperkenankan hasrat saya ini. Amin...

Saturday, 29 November 2014

Ayam Goreng Rangup

Teks : Aida Ilyani Ali

Tentu para ibu tercari-cari resepi mudah untuk menyediakan ayam goreng rangup ala KFC atau yang sewaktu dengannya kan? Saya mendapat idea menyediakan ayam goreng rangup ini berdasarkan pemerhatian saya pada penyediaan ayam goreng di satu kios jenama A ini. Oleh kerana saya ni jenis yang suka sediakan sendiri masakan di rumah (nak suami dan anak-anak makan air tangan kita), saya cuba sendiri membuat ayam goreng ini. Alhamdulillah, menjadi. In sya Allah, suami dan anak-anak pasti suka hidangan ini. Versi saya ini lebih mudah dan senang disediakan.


Bahan-bahan :

Ayam (potong 8 )
Garam (secukup rasa)
Kunyit (secukup rasa)
Tepung goreng pisang ADABI
Serbuk lada hitam

Cara penyediaan :


  1. Basuh ayam hingga bersih. Jika ingin ayam anda masak cepat dan memastikan ayam betul-betul masak, hiris beberapa bahagian pada setiap ketul ayam yang digunakan. 
  2. Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit. 
  3. Toskan ayam jika ada saki-baki air pada ayam selepas digaul dengan garam dan kunyit. Pastikan ayam kering.
  4. Masukkan tepung goreng pisang adabi di dalam satu mangkuk. Masukkan sedikit lada hitam ke dalam tepung tersebut. Jika anda tiada serbuk lada hitam, tak perlu isi. Lada hitam saya gunakan untuk sebagai penambah perisa sahaja. 
  5. Salut setiap ketul ayam dengan tepung tadi sehingga tepung betul-betul penuh pada ayam. Pastikan ayam kering.
  6. Panaskan minyak dan goreng ayam seperti biasa.
Anda boleh suaikan sukatan tepung goreng pisang ADABI dengan jumlah ketul ayam yang digunakan untuk mengelakkan pembaziran tepung tersebut. Jika ada saki-baki tepung yang telah digunakan, jangan buang tepung tersebut. Anda hanya perlu potong beberapa biji kentang. Potongan kentang dibuat seperti french fries. Gaul kentang dengan tepung tersebut. Letak setengah sudu air dan gaul lagi kentang sehingga betul-betul sebati Goreng.seperti biasa. Hasilnya akan jadi seperti french fries beli. Apa lagi kawan-kawan, jom cuba, :-)



Wednesday, 26 November 2014

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Teks : Aida Ilyani Ali

Anda perasan tak dekat mana kita boleh jumpa ayat ini - " Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan"?

Kepada yang tidak tahu, ayat ini merupakan maksud bagi ayat yang ada di dalam surah Ar-Rahman

Surah Ar-Rahman merupakan surah yang paling saya suka baca kerana dengan membaca surah ini bersama-sama terjemahannya saya dapat mengingatkan diri saya untuk bersyukur atas setiap pemberian Allah. 


Surah ini mengandungi 78 ayat dan merupakan surah yang ke 55. Surah ini tergolong dalam surah Makkiyah. Surah ini dinamakan Ar-Rahman yang bererti Yang Maha Pemurah, diambil daripada ayat pertama surah ini.

Jom hayati bersama surah ini.


Bersyukurlah. Semoga bermanfaat buat semua.

Doa untuk semua

Teks : Aida Ilyani Ali

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah, ampunkanlah dosaku,
Dosa kedua ibubapaku,
Dosa suamiku,
Dosa anak-anakku,
Dosa saudara-saudaraku,
Dosa guru-guruku,
Dosa anak-anak muridku,
Dosa sahabat-sahabatku,
Dosa semua umat Islam yang beriman denganMu
Walaupun mereka pernah menyakitiku,
Amin, Ya Rabbal Alamin......

Jom doa untuk semua

Tuesday, 25 November 2014

Al-Fatihah

Assalamualaikum, alhamdulillah dapat juga saya berkongsi ilmu pada hari ini.

Dari semalam saya sudah fikirkan tentang perkongsian mengenai kepentingan kita memahami dan menghafal surah al-Fatihah. Kenapa kena hafal? Soalan ini juga saya tanya dalam diri semasa mula-mula suami ajukan adakah saya hafal maksud surah ini. Pentingnya memahami maksud al-Fatihah supaya kita lebih khusyuk dalam solat, lebih menghargainya dan menjadi lebih yakin akan kekuasaan Allah.

Sahabat sekalian, saya sendiri menghafal surah ini selepas diberi tunjuk ajar dari suami. Saya belajar dengan cara mendengar lagu yang dia pasang setiap hari dalam kereta. Jangan malu untuk berubah. Jom kita hayati al-Fatihah sama-sama.


Untuk mendapat pencerahan yang lebih mendalam lagi mengenai surah ini boleh lah ke link Prof Dr Nasoha Saabin. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

Belajar sambil bermain

Pernahkah anda terfikir bahawa bermain dengan permainan merupakan salah satu pendekatan dalam pembelajaran?
Pendekatan pembelajaran ini dipanggil pendekatan belajar sambil bermain. Kaedah ini dikatakan dapat meningkatkan perkembangan kognitif, sosial dan kemahiran belajar mereka. Selain itu, pembelajaran secara belajar sambil bermain iaitu dengan menggunakan bahan permainan fizikal seperti kereta, lego atau blok dapat membantu ibu bapa mengekang ketagihan anak-anak terhadap permainan dalam bentuk gajet.

Ibu bapa pasti terhibur melihat anak-anak bermain. Jom cuci mata lihat produk permainan yang boleh dijadikan hadiah untuk anak anda.








Jika berminat, bolehlah berkunjung ke Kedai Online Aida Ilyani.

Monday, 24 November 2014

Pengalaman melahirkan anak pertama

Teks : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum,

Kebanyakan isteri rata-ratanya pernah mengalami pengalaman bersalin. Namun, setiap pengalaman itu berbeza antara setiap individu. Setelah mengalami sendiri detik-detik untuk bersalin, kita akan rasa lebih menghargai ibu kita. Ramai yang bersetuju bahawa setiap anak yang dilahirkan berbeza tahap kesukaran proses melahirkan.


Pengalaman saya sendiri, melahirkan Aleesya lebih sukar daripada melahirkan Umar. Saya terpaksa menunggu lebih dari 24 jam untuk melahirkan anak pertama saya kerana tiada rasa sakit untuk bersalin walaupun air ketuban telah pecah. Saya melahirkan Aleesya pada pukul 9.15 malam. Berat dia ketika baru dilahirkan hanya 2.5 kg sahaja. Selepas melahirkan Aleesya, Aleesya dibawa ke wad lain bagi tujuan rawatan antibiotik.

Malam itu dan siang hari seterusnya saya tidak dapat bersama Aleesya. Saya juga terpaksa menjalani rawatan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan kuman disebab air ketuban telah pecah lebih daripada 24 jam. Pada malam itu, perasaan ingin melihat anak membara. Suami dan saya mengambil keputusan untuk ke wad yang menempatkan anak kami. Kami ke sana dalam pukul 11 malam. Saya ke sana menggunakan kerusi roda yang dipinjam dari wad. Detik indah yang paling saya ingat ialah apabila kami terpaksa melalui beberapa wad lain untuk kesana dan suami sempat bermain sorong kerusi roda dengan saya.

Pada malam itu, keinginan untuk menyusukan anak saya membuak-buak. Perancangan untuk menyusukan anak secara eksklusif memang telah dibuat sebelum bersalin lagi. Saya cuba menyusukan anak saya di sana namun tidak berjaya. Betullah orang kata, kita akan belajar dari pengalaman. Buat permulaan bagi ibu baru, menyusukan anak merupakan perkara yang sukar dan merumitkan apabila susu tidak keluar atau sedikit. Pada waktu inilah saya mula belajar tentang kaedah membuat perahan dan teknik menyusukan yang paling berkesan dari jururawat di wad. Mereka memberikan kata-kata semangat dan menasihatkan saya agar tidak putus asa.

Alhamdulillah, akhirnya Allah telah mengizinkan saya menyusukan anak saya setelah bersusah-payah berulang beberapa kali ke wad anak dengan bantuan suami. Kami dibenarkan pulang setelah tiga hari berada di sana. Saya meneruskan misi penyusuan susu ibu kepada Aleesya sehingga beliau betul-betul bersedia untuk berhenti menyusu. Aleesya anak yang mudah dijaga, tidak meragam, jarang sekali demam, batuk dan selsema. Berat badannya meningkat dengan banyak walaupun hanya minum susu ibu.

Sahabat sekian, daripada mengalaman saya di atas, bolehlah disimpulkan bahawa anak yang menyusu ibu tidak mudah terkena penyakit, mempunyai antibodi yang kuat dan pintar, in sya Allah. Jom kita ramai-ramai menyokong penyusuan susu ibu.

Potato and Tomato soup with garlic bread

Assalamualaikum..


Hari ini saya ingin berkongsi resepi sup yang saya olah dari resepi yang ada di internet. Resepi ini mudah disediakan terutama kepada ibu-ibu yang inginkan makanan yang ringkas dan mengenyangkan.



Bahan-bahan :

Roti perancis - 1 batang
Bawang besar - 1 atau 2 biji
Bawang putih - 2 ulas
Kentang - 3 biji
Tomato 2 biji
Tepung gandum - 2 sudu
Susu cair / susu segar - 2 cawan
Air - 3 cawan
Garam - 1 sudu kecil
Kiub pati ayam knorr - 1/2 atau 1 kiub
lada hitam - 1/2 sudu kecil
Daun selasih atau oregano
Mentega - 2 sudu



Cara penyediaan :
  1. Kupas kentang dan bawang besar. Basuh dan potong empat. 
  2. Rebuskan kentang dan bawang menggunakan 3 cawan air. Saya menggunkan periuk ajaib supaya kentang cepat empuk. Apabila kentang hampir empuk, masukkan 2 biji tomato yang telah dibasuh, garam, kiub pati ayam, lada hitam mentega, susu cair atau susu segar dan daun selasih.
  3. Dalam masa seminit, apabila kulit tomato merekah sendiri, angkat tomato dan buang kulitnya.
  4. Kecilkan api dapur dan kacau sup. Tutup api dapur apabila kentang telah benar-benar empuk. Biarkan sejuk seketika.
  5. Sementara itu, potong roti perancis mengikut ketebalan  yang disukai. Sapu mentega dan bawang putih di kedua-dua belah permukaan roti. Bakar sehingga permukaan roti kekuningan.
  6. Apabila sup sudah suam, masukkan tomato yang dikupas, dan sup ke dalam mesin pengisar. Kisar sup sehingga halus. Tuang semula sup yang telah dikisar ke dalam periuk untuk di panaskan dengan menggunakan api kecil.
  7. Hidang semasa panas.



Ini adalah foto sup dan roti disediakan istimewa untuk ibu dan bapa mertua ketika mereka datang ke rumah beberapa hari yang lalu. Alhamdulillah, mereka suka. Ada permintaan masak sup ni di rumah mertua. Suami dan anak-anak pun suka hidangan ini.



Sahabat sekalian, jom cuba..


Doa Pelembut Hati

Teks : Aida Ilyani Ali

Hari ini saya nak berkongsi cerita mengenai kelas mengaji. Alhamdulillah, sempat juga saya ke kelas mengaji hari ini. Terima kasih ya Allah kerana mempertemukan saya dengan Cikgu Saniah. Beliau merupakan ibu tunggal yang telah berusia 82 tahun. Seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan al-Quran. Beliau sering memberi kata semangat dan panduan kepada saya untuk menjadi suri rumah tangga yang lebih baik. Selain itu, beliau berkongsi ilmu berkaitan kelebihan ayat-ayat al-Quran yang diamalkan oleh beliau apabila kami bertemu ayat tersebut semasa mengaji.

Hari ini saya kongsikan satu ayat dari Surah Ali-Imran iaitu ayat ke 200 yang boleh digunakan dalam kehidupan kita sehari-hari  iaitu : 



Ayat ini dibaca untuk untuk menjinakkan haiwan. Boleh juga dibaca untuk melembutkan hati anak..


Friday, 21 November 2014

Pengenalan Diri

Teks : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum, salam ukhwah untuk semua. 
Bismillahirrahmanirrahim pembuka bicara.

Keluarga memanggil saya dengan panggilan Aida. Nama sebenar saya Aida Ilyani Binti Ali. Nama ini ibu saudara saya yang lebih mesra dipanggil "Auntie" berikan. Mengikut cerita, nama ini adalah sempena nama kawan beliau di Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Bahru. Saya merupakan  anak kedua daripada sembilan orang adik beradik. Saya mempunyai seorang kakak, empat orang adik perempuan dan empat orang adik lelaki. Mak dan abah bekerja di sektor kerajaan. Kami adik-beradik telah dijaga oleh nenek saudara yang kami panggil "Mak Tok". Mak Tok menjaga kami semua dengan penuh kasih sayang.

Saya mula mendapat pendidikan awal kanak-kanak pada umur lima tahun. Pada ketika itu perasaan ingin belajar didorong oleh kakak yang telah ke tadika. Tadika yang kami sertai ialah Tadika Iman. Saya mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Sri Skudai, Johor Bahru. Saya melanjutkan pelajaran peringkat menengah saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail dalam aliran agama seterusnya ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru dalam aliran pertanian. Selepas itu saya telah ditawarkan untuk mengikuti program matrikulasi di Matrikulasi Melaka. Alhamdulillah, saya diberi ruang untuk belajar ke menara gading dalam bidang Teknologi Tumbuhan di Universiti Malaysia Sabah. Saya seterusnya menyambung pelajaran saya secara separuh masa dalam kursus Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia. Saya berjaya menyelesaikan pembelajaran saya pada tahun 2013 yang lalu. Saya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, in sya Allah dalam masa satu ke dua tahun lagi.

Alhamdulillah, rasa cinta yang Allah percikkan dalam hati saya sejak sekolah membawa saya dan suami ke jinjang pelamin pada 19 November 2008. In sya Allah, rasa cinta itu mekar hingga ke hari ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami merasa nikmat anak. Allah telah mengurniakan kami dua orang cahaya mata. Kakak, Aida Aleesya lahir pada 2 Mac 2011 dan diikuti oleh adik, Abdullah Umar lahir pada 15 Ogos 2012. Ya, Allah! Bantulah hambamu ini menjaga amanah Mu sebaik mungkin.

Pengalaman bekerja saya bermula apabila saya mendapat pekerjaan sebagai Pembantu Juruaudit Kontrak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. Pada ketika itu, saya tidak memikirkan untuk menjawat jawatan yang setaraf dengan kelulusan saya kerana tidak mahu jauh dari mak. Selepas penstrukturan semula perjawatan di SUKJ, perkhidmatan saya tidak diperlukan lagi. Namun, saya tidak berputus asa. Emak suruh saya memohon jawatan guru ganti di Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru. Saya agak keberatan kerana pada waktu itu saya tidak yakin untuk menjadi guru. Namun, rezeki menyebelahi saya dan saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, sekolah lama saya. Semua guru di sini sangat profesional dan memberi kepercayaan kepada saya untuk mendidik pelajar walaupun saya hanya seorang guru ganti. Bermulalah satu episod perjalanan saya sebagai seorang guru.

Setelah kontrak saya tamat, saya diberi kepercayaan sekali lagi oleh pihak PPD JB untuk menyandang jawatan guru. Kali ini sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki Johor Bahru. Setelah setahun di sana memberikan perkhidmatan terbaik saya, saya terpaksa membuat keputusan yang sukar dalam hidup saya iaitu berhenti kerana mengikut suami yang berkhidmat di Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Perak. Oleh kerana belum dikurniakan anak, saya mencuba nasib memohon jawatan guru secara kontrak yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran ketika itu. Saya akhirnya berjaya dipanggil temuduga dan berjaya dalam temuduga tersebut. Saya telah ditempatkan di Sekolah Menengah Agama Tan Sri Ghazali Jawi, Gerik (SABK). Pada akhir tahun 2009 saya sekali lagi terpaksa menolak tawaran menyambung perkhidmatan sebagai guru di sana memandangkan suami telah dapat bertukar kembali ke Johor.

Rezeki Allah di mana-mana. Walaupun terpaksa menolak jawatan guru yang membolehkan saya diserap pada ketika itu, saya telah berjaya mendapat pekerjaan di Jabatan Pelajaran Negeri Johor sebagai Penolong Pegawai Tadbir Kontrak pada tahun 2010. Pada waktu ini kami masih lagi belum dikurniakan cahaya mata. Dalam pada menanti kehadiran permata hati, saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran saya ke peringkat yang lebih tinggi untuk mengubat kesedihan hati. Atas sebab minat dan sayang saya dalam dunia pendidikan, saya telah menyambung pelajaran saya dalam bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional di UTHM secara separuh masa. Usai saya mendaftarkan diri di UTHM, saya telah disahkan mengandung. Berita ini sangat menggembirakan saya kerana saya menunggu hampir tiga tahun untuk mendapat anak. Anak kedua lahir setahun selepas saya melahirkan anak pertama. Komitmen terhadap anak dan pelajaran menyebabkan saya tidak mencari pekerjaan lain selepas kontrak saya tamat.

Berada di rumah dikelilingi anak-anak memang seronok. Sayalah orang pertama yang melihat setiap kemajuan perkembangan mereka. Walaupun tidak menjadi pendidik secara formal, namun saya gunakan juga ilmu pendidikan yang dipelajari terhadap anak-anak saya. Anak pertama saya telah dapat menghafal surah Al-Fatihah, al-Ikhlas dan An-Nas seawal 2 tahun setengah. Suami pernah mencadangkan saya supaya saya mencari sesuatu aktiviti yang berkaitan pendidikan dan minat saya secara online untuk dilakukan pada waktu lapang agar ilmu yang ada tidak di sia-siakan. Namun, pada masa itu saya masih belum bersedia.

Anak-anak semakin membesar, Aleesya dan Umar telah menunjukkan minat mereka dalam pembelajaran. Oleh itu, saya rasa saya perlu membuat perubahan jadual harian saya sebagai suri rumah tangga. Saya perlu mempunyai jadual bekerja yang lebih teratur. Saya mula mencari-cari jadual ibu yang menjadi "home engineer" seperti saya di alam maya. Rupanya, perancangan Allah itu lebih baik lagi di mana saya di pertemukan dengan blog Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Hati saya merasakan bahawa ilmu dari guru-guru dan rakan-rakan dalam akademi inilah yang saya perlukan untuk menjayakan misi sebagai WAHM (work at home mom) yang berjaya. Inilah peluang saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman di samping menjana pendapatan sampingan dari rumah tanpa perlu meninggalkan anak-anak.

Dalam pencarian saya, saya telah bertemu dan belajar secara bersemuka dengan Puan Anys Idayu Zakaria. Beliau telah menerangkan kepada saya dengan sangat jelas berkenaan akademi dan saya jadikan beliau mentor saya sehingga kini. Walaupun menulis dalam bentuk pengalaman di blog bukanlah kepakaran saya, namun beliau telah meyakinkan saya dengan perancangan yang teratur dan kaedah yang tersusun, saya mampu melakukannya. Sekarang, saya akan menjadikan ruangan di blog saya ini sebagai platform dalam membantu lebih ramai suri rumah khususnya dan para wanita berkerjaya yang lain dalam memulakan perniagaan untuk meningkatkan ilmu dan pendapatan mereka. Harapan saya semoga Allah mempermudah urusan ini dan usaha saya ini diredhai dan dirahmati oleh Nya. In sya Allah.

Akhir kalam, salam ukhwah dan salam kasih sayang.