Showing posts with label Tips Masakan. Show all posts
Showing posts with label Tips Masakan. Show all posts

Saturday, 13 December 2014

Apam balik mudah dan lazat

Teks : Aida Ilyani Ali
Foto : Aida Ilyani Ali


Assalamualaikum pembaca setia diari masakan saya. Hari ini kita berbicara mengenai apam balik pula. Apam balik merupakan makanan yang tidak asing lagi buat masyarakat kita. Biasanya apam balik boleh diperolehi dari pasar malam, pasar tani dan peniaga bermotor. Oleh kerana anak-anak dan suami sukakan apam balik, saya terpanggil untuk membuat apam balik ini di rumah.
Pencarian resepi mudah dan lazat berakhir juga apabila saya menjumpai resepi yang dipaparkan oleh blog Fiza's Cooking yang diadaptasi dari 1 buku 1 Resepi oleh Chef Hanieliza. Resepi ini juga boleh dijumpai di blog Hanieliza Cooking. Saya dah cuba. Memang mudah dan pasti jadi, in sya Allah.





Bahan-bahan :

Bahan A
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan gula
  • 4 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil garam
Bahan B
  • 2 cawan susu segar atau 1 cawan susu cair + 1 cawan air
  • 1/2 cawan minyak
  • 2 biji telur
Bahan C (Inti)
  • Gula halus
  • Kacang tanah kisar
  • Jagung krim dalam tin



Cara penyediaan :

  1. Gaulkan semua bahan A.
  2. Masukkan semua bahan B dalam blender .
  3. Masukkan bahan A dalam blender dan mesinkan.
  4. Panaskan non-stik pan dan sendukkan adunan.
  5. Tutup pan dan biarkan adunan setengah masak.
  6. Letakkan sedikit gula halus, kacang tanah kisar dan jagung krim di atas adunan yang sedang masak. 
  7. Lipat dan hidangkan.

Nota : Bahan C (Inti) apam balik bolehlah disesuaikan dengan selera masing-masing. Chef Hanieliza menggunakan inti chocolate chip dan jagung. Fiza pula guna jagung krim dan kacang tanah. Boleh juga guna chocolate rice untuk gantikan chocolate chip. Saya dah cuba. Selamat mencuba. Semoga memberi manfaat.

Kek Apam Dewa.. Mudah dan sedap

Teks : Aida Ilyani Ali
Foto : Aida Ilyani Ali


Assalamualaikum, lama rasanya dah tak berkongsi resepi di blog ni. Hari ini saya nak berkongsi resepi mudah untuk membuat Kek Apam Dewa. Dah lama cari resepi apam di internet ni untuk di buat sebab anak lelaki saya suka makanan yang berasaskan tepung. Kalau kek lagi lah dia suka. Dalam pencarian saya, akhirnya saya bertemu resepi ini di blog MaDiHaA aka Ratna. Terima kasih kepada MaDiHaA, Ina dan tuan punya resepi iaitu Missayu@MyR. Mohon izin salin resepi ini di blog saya pula ye. Setelah membaca resepi yang dikongsikan oleh beliau, saya rasa saya ingin mencuba resepi ini kerana ianya mudah disediakan dan tidak menggunakan banyak bahan. Saya bukanlah pakar dalam membuat kek, jadi saya cuba membuat Kak Apam Dewa ini dengan menggunakan hanya separuh adunan. Maka, bahan-bahan yang dinyatakan di bawah juga adalah separuh daripada bahan asal ye kawan-kawan. Apa lagi, jom mula buat Kek Apam Dewa...!



Apam Dewa / Bahulu Kukus

Resepi : Missayu@MyR
Sumber 1 : Ina@Pesona
Sumber 2 : MaDiHaA aka Ratna

Bahan-bahan

  • 3 biji telur
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/2 sudu besar sunquick (saya guna jus lemon segar, untuk hilangkan bau hanyir telur)
  • Pewarna (saya guna pati sirap ros je)
  • 1/2 sudu kecil ovelette (Ina dan MaDiHaA guna, saya pun guna lah juga, ;-))

Cara penyediaan

  1. Pukul telur bersama gula dan sunquick dan ovelette hingga kembang (saya blender je).
  2. Tuang aduan ke dalam bekas dan kacau perlahan.
  3. Masukan tepung sedikit demi sedikit sambil kacau rata adunan.
  4. Bahagikan adunan kepada 2 atau 3 bahagian dan masukan pewarna yang disukai. Alaskan loyang dengan plastik, kemudian masukan adunan ke dalam loyang berselang seli (saya sapu loyang dengan menggunakan butter).
  5. Kemudian kacaukan sedikit adunan yang di dalam loyang dan lorekkan corak di atas.
  6. Kukus selama 45 minit atau sehingga masak. (saya guna periuk ajaib, tutup loyang dengan plastic wrap supaya air tak jatuh atas adunan).



Inilah hasil uji kaji saya. Alhamdulillah berjaya. Kenapa nipis sangat? Separuh adunan sahaja. Jom cuba...!

Friday, 5 December 2014

Mudahnya memasak dengan hidangan "One Pot Meal"

Teks : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum kepada semua pembaca.

Hari ini saya ingin berkongsi berkenaan One Pot Meal. Apa itu One Pot Meal?
One Pot Meal ialah satu hidangan yang mengandungi semua jenis kumpulan makanan yang diperlukan oleh badan kita iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, serat dan galian. Memasak menggunakan kaedah One Pot Meal merupakan satu kaedah mudah dalam penyediaan hidangan makan tengahari atau makan malam kita. Sebenarnya, kita tidak perasan bahawa kita selalu menggunakan kaedah ini dalam penyediaan makanan. Antara masakan yang menggunakan kaedah ini ialah mi sup, mi tom yam, nasi goreng, makaroni bakar dan bubur ayam atau daging. Sebagai wanita yang mempunyai jadual harian yang ketat, kaedah one pot meal dapat menyelesaikan masalah anda. Jadualkan pelbagai masakan menggunakan kaedah ini dan anda tidak akan kesuntukan masa untuk memasak. Selain itu, kaedah ini dapat membantu anda dalam menyediakan makanan yang lebih sihat, lazat dan berkhasiat di samping penyediaannya yang mudah. Anda juga tidak perlu membersihkan banyak peralatan memasak kerana menggunakan satu periuk sahaja untuk memasak. Mudahnya memasak dengan hidangan One Pot Meal! Jom masak... 

Semoga bermanfaat untuk semua...

Thursday, 4 December 2014

Sarapan ala Mexico

Teks : Aida Ilyani Ali

Asslamualaikum, hampir terlupa saya hari ini nak kongsi resepi masak sarapan cepat. Baiklah, hari ini saya kongsikan resepi Tortillas. Apa itu Tortillas?
Tortillas ialah sejenis roti nipis yang berasal dari Mexico yang biasanya diperbuat daripada tepung jagung. Tortillas sangat popular di Amarika Selatan. Kalau nak dapatkan cara membuat roti ini di kaca televisyen  pun boleh tapi tak tahulah boleh tangkap ke tak sebab penyediaannya begitu cepat. Kepada rakan-rakan yang nak makan ala-ala Mexico boleh la cuba resepi ini selain ianya mudah dan cepat disediakan sebagai sarapan pagi dan bekal keluarga anda.


Bahan-bahan :
2 cawan tepung
1 sudu kecil garam
1 sudu tepung penaik
3 sudu besar vegetable shortening
2/3 cawan air suam


Cara penyediaan :
  1. Campurkan tepung, garam dan tepung penaik di dalam satu mangkuk. Gaul sebati.
  2. Gaulkan vegetable shortening dengan adunan tadi.
  3. Masukkan air suam sedikit demi sedikit sambil uli adunan dengan tangan.
  4. Tutup mangkuk adunan dengan plastic wrap. Biarkan rehat selama 15 minit.
  5. Bahagikan adunan kepada 12 bola kecil. Giling sehingga menjadi bulatan leper yang nipis.
  6. Masak menggunakan kuali tidak melekat. Balikkan roti apabila ianya mula membentuk gelembung.
  7. Masukkan apa-apa inti di tengah-tengah roti seperti membuat roti sosej. 

Nota : Inti Tortillas boleh dipelbagaikan mengikut kesukaan anda. Saya tidak menyediakan Tortillas seperti roti sosej tapi saya buat inti kari. Inti ini boleh disediakan semasa menunggu Tortillas sedia untuk diadun (15 minit).

Monday, 1 December 2014

Rahsia memasak cepat

Teks : Aida Ilyani Ali

Pening kepala nak masa apa hari ini, esok, lusa dan seterusnya? Tidak sempat masak kerana bekerja? Saya akan bantu anda, in sya Allah. Kaedah yang betul untuk memastikan anda tidak bingung untuk memasak setiap hari ialah dengan menyenaraikan menu yang paling mudah dan paling anda pakar dalam penyediaannya. Hal ini mungkin tidak perlu bagi segelintir suri rumah sepenuh masa. Bagi saya, kaedah ini sangat membantu kerana saya perlu menyediakan sarapan dan bekal makan tengahari untuk suami. Kalau tidak bawa bekal, takut suami tak makan terus di pejabat. Maklumlah sibuk katanya. 


Apa yang perlu anda buat ialah membuat jadual hidangan untuk minggu tersebut supaya tidak berulang dan tidak bosan. Disini, saya kongsikan senarai masakan yang boleh dimasukkan dalam menu anda setiap minggu. Menu ini berdasarkan masakan kegemaran suami saya. Kebanyakan masakan tidak pedas sebab suami tak makan pedas. Anda boleh olah mengikut kesesuaian anda.

Sarapan pagi 
Mi hun goreng
Nasi lemak
Pan cake
Roti sausage
Donut
Bubur ayam
Jemput-jemput quaker oats
Roti bakar
Makaroni goreng
Lontong
Soto
Nasi goreng
Mee kuning goreng
Roti jala
Puri
Pizza
Karipap

Nasi pilihan
Nasi putih
Nasi tomato
Nasi butter
Nasi minyak
Nasi telur
Nasi ayam


Lauk Makan tengahari
Ayam goreng, sayur sawi masak air, buah
Ikan kukus halia + sayur-sayuran, buah
Ayam bakar, sayur capcai, sos, buah
Ikan siakap masak sweet sour, kailan goreng ikan masin, buah
Ayam masak kurma, kangkung goreng, buah
Ikan cencaru bakar, ulam, buah
Ayam masak kicap, sayur sawi + daun sup, buah
Ikan masak asam rebus, sawi goreng, buah
Ayam masak lemak, ulam, buah
Ikan kembong masak singgang, buah
Tom Yam, buah
Ayam masak merah, acar sayur, buah
Ayam kukus, sayur capcai, buah

Makan malam
Aneka mi (mi bandung, mi sup, mi goreng, mi siam, mi hailam, mi tom yam)
Roti bakar sup kentang tomato
Makaroni cheese
Nasi goreng
Cornish ayam
Fish and Chip
Aneka masakan spageti (boloniese, carbonara, prawn with olive oil)
Roti arab, kari ayam


Senarai masakan ini boleh la di suai padan dengan menu anda. Semoga membantu dan memberi manfaat.


$$ Info jimat tenaga, masa dan wang :
Selain membantu anda membuat pilihan hidangan dengan mudah, anda juga dapat menyediakan senarai perbelanjaan barangan dapur pada minggu itu dengan teratur. Oleh itu, anda telah jimat masa dan tenaga anda pada minggu itu untuk beli secara runcit setiap hari. Anda juga dapat membuat perbandingan harga sebelum berbelanja. Suri berkhemah, suami suka. :-)




Sunday, 30 November 2014

Ikan Goreng Sedap

Teks : Aida Ilyani Ali

Tentunya menggoreng ikan bukanlah perkara yang asing bagi kaum ibu. Namun, bukan semua orang meminati ikan goreng. Suami saya seorang yang kurang gemar ikan goreng. Adakalanya dia sanggup tak makan jika lauk ikan goreng yang disajikan. Namun, setelah saya cuba resepi yang saya olah sendiri ini, prespektif beliau tentang ikan goreng telah berubah. Alhamdulillah. Kawan-kawan bolehlah cuba ye..


Cara penyediaan :

  1. Ikan yang digunakan ialah ikan kembong batu. Setelah disiang, kelar ikan di perutnya.
  2. Gaulkan ikan dengan sedikit garam dan kunyit.
  3. Tambah serbuk kari ayam sedikit pada ikan dan gaul sebati.
  4. Goreng ikan seperti biasa. Hidangkan panas (Kalau dah sejuk pun masih sedap, in sya Allah)




Saturday, 29 November 2014

Ayam Goreng Rangup

Teks : Aida Ilyani Ali

Tentu para ibu tercari-cari resepi mudah untuk menyediakan ayam goreng rangup ala KFC atau yang sewaktu dengannya kan? Saya mendapat idea menyediakan ayam goreng rangup ini berdasarkan pemerhatian saya pada penyediaan ayam goreng di satu kios jenama A ini. Oleh kerana saya ni jenis yang suka sediakan sendiri masakan di rumah (nak suami dan anak-anak makan air tangan kita), saya cuba sendiri membuat ayam goreng ini. Alhamdulillah, menjadi. In sya Allah, suami dan anak-anak pasti suka hidangan ini. Versi saya ini lebih mudah dan senang disediakan.


Bahan-bahan :

Ayam (potong 8 )
Garam (secukup rasa)
Kunyit (secukup rasa)
Tepung goreng pisang ADABI
Serbuk lada hitam

Cara penyediaan :


  1. Basuh ayam hingga bersih. Jika ingin ayam anda masak cepat dan memastikan ayam betul-betul masak, hiris beberapa bahagian pada setiap ketul ayam yang digunakan. 
  2. Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit. 
  3. Toskan ayam jika ada saki-baki air pada ayam selepas digaul dengan garam dan kunyit. Pastikan ayam kering.
  4. Masukkan tepung goreng pisang adabi di dalam satu mangkuk. Masukkan sedikit lada hitam ke dalam tepung tersebut. Jika anda tiada serbuk lada hitam, tak perlu isi. Lada hitam saya gunakan untuk sebagai penambah perisa sahaja. 
  5. Salut setiap ketul ayam dengan tepung tadi sehingga tepung betul-betul penuh pada ayam. Pastikan ayam kering.
  6. Panaskan minyak dan goreng ayam seperti biasa.
Anda boleh suaikan sukatan tepung goreng pisang ADABI dengan jumlah ketul ayam yang digunakan untuk mengelakkan pembaziran tepung tersebut. Jika ada saki-baki tepung yang telah digunakan, jangan buang tepung tersebut. Anda hanya perlu potong beberapa biji kentang. Potongan kentang dibuat seperti french fries. Gaul kentang dengan tepung tersebut. Letak setengah sudu air dan gaul lagi kentang sehingga betul-betul sebati Goreng.seperti biasa. Hasilnya akan jadi seperti french fries beli. Apa lagi kawan-kawan, jom cuba, :-)



Monday, 24 November 2014

Potato and Tomato soup with garlic bread

Assalamualaikum..


Hari ini saya ingin berkongsi resepi sup yang saya olah dari resepi yang ada di internet. Resepi ini mudah disediakan terutama kepada ibu-ibu yang inginkan makanan yang ringkas dan mengenyangkan.



Bahan-bahan :

Roti perancis - 1 batang
Bawang besar - 1 atau 2 biji
Bawang putih - 2 ulas
Kentang - 3 biji
Tomato 2 biji
Tepung gandum - 2 sudu
Susu cair / susu segar - 2 cawan
Air - 3 cawan
Garam - 1 sudu kecil
Kiub pati ayam knorr - 1/2 atau 1 kiub
lada hitam - 1/2 sudu kecil
Daun selasih atau oregano
Mentega - 2 sudu



Cara penyediaan :
  1. Kupas kentang dan bawang besar. Basuh dan potong empat. 
  2. Rebuskan kentang dan bawang menggunakan 3 cawan air. Saya menggunkan periuk ajaib supaya kentang cepat empuk. Apabila kentang hampir empuk, masukkan 2 biji tomato yang telah dibasuh, garam, kiub pati ayam, lada hitam mentega, susu cair atau susu segar dan daun selasih.
  3. Dalam masa seminit, apabila kulit tomato merekah sendiri, angkat tomato dan buang kulitnya.
  4. Kecilkan api dapur dan kacau sup. Tutup api dapur apabila kentang telah benar-benar empuk. Biarkan sejuk seketika.
  5. Sementara itu, potong roti perancis mengikut ketebalan  yang disukai. Sapu mentega dan bawang putih di kedua-dua belah permukaan roti. Bakar sehingga permukaan roti kekuningan.
  6. Apabila sup sudah suam, masukkan tomato yang dikupas, dan sup ke dalam mesin pengisar. Kisar sup sehingga halus. Tuang semula sup yang telah dikisar ke dalam periuk untuk di panaskan dengan menggunakan api kecil.
  7. Hidang semasa panas.



Ini adalah foto sup dan roti disediakan istimewa untuk ibu dan bapa mertua ketika mereka datang ke rumah beberapa hari yang lalu. Alhamdulillah, mereka suka. Ada permintaan masak sup ni di rumah mertua. Suami dan anak-anak pun suka hidangan ini.



Sahabat sekalian, jom cuba..