Showing posts with label Tips Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Tips Pendidikan. Show all posts

Sunday, 14 December 2014

Tips menulis Penulisan Ilmiah - Tips untuk rakan pelajar

Teks : Aida Ilyani Ali


Assalamualaikum rakan pembaca sekalian. Hari ini saya ingin berkongsi ilmu mengenai tulisan ilmiah. Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang seni silat, saya telah membuat kajian berkaitan kemahiran insaniah dan silat. Alhamdulillah, kajian ini telah di bentangkan di satu persidangan di Indonesia oleh penyelia saya, iaitu Dr Ahmad Esa. Beliau banyak membantu saya dalam mendalami kaedah menulis penulisan ilmiah ini. Beliau tegas dalam memberi tunjuk ajar berkaitan penulisan ilmiah, namun ilmu yang diberikan sangat berbekas di hati saya. Anak-anak saya juga tidak ketinggalan bersama dengan beliau yang di gelar "Atuk". Mana tidaknya, setiap kali pertemuan dengan beliau mereka tidak akan ketinggalan ikut mama masuk dalam pejabat dari bayi hinggalah projek akhir saya siap sepenuhnya.



Pengalaman dalam membuat tulisan ilmiah bergenre kajian sains sosial ini memberi banyak pengajaran buat saya. Daripada pengalaman ini, banyak perkara baru tentang ilmu penulisan diperoleh. Walaupun ilmu dalam penulisan ini sangat sedikit, namun saya harap catatan mengenai tips menulis dan membuat kajian ilmiah ini dapat digunakan oleh rakan-rakan yang masih tercari-cari punca untuk memulakan penulisan ilmiah terutamanya dalam bentuk thesis dan laporan projek akhir. Terdapat pelbagai kaedah penulisan ilmiah mengikut jenis kajian yang hendak dijalankan. Perkara-perkara asas yang perlu dilakukan sebelum memulakan suatu penulisan ilmiah ialah :
  1. Memilih tajuk kajian
  2. Mencari maklumat berkaitan tajuk
  3. Menentukan pernyataan masalah berdasarkan tajuk
  4. Membuat kerangka esei
  5. Membuat nota ringkas berkaitan tajuk mengikut susunan (bagus dibuat dalam bentuk jadual)
  6. Membuat senarai semak
  7. Menulis lakaran penulisan pertama
  8. Menyemak senarai semak penulisan
Selepas semua perkara di atas dipatuhi, anda bolehlah memulakan penulisan anda. Berdasarkan pengalaman saya, bagi rakan-rakan yang belum pakar membuat penulisan ilmiah dan ingin berjaya dalam penulisan ilmiah ini anda perlu :

1. Dapatkan nasihat pensyarah pembimbing
Berjumpa pensyarah pembimbing merupakan perkara yang sangat perlu dilakukan oleh setiap pelajar kerana setiap pensyarah mempunyai pandangan berbeza mengenai kajian ilmiah. Ada yang gemar kajian berbentuk kualitatif, ada yang sukakan kajian berbentuk kuantitatif, ada yang memang seorang yang berpegang pada kaedah eksperimental sahaja dan ada yang suka kaedah gabungan. Cara penulisan kajian biasanya bergantung kepada kaedah kajian dijalankan. Biasanya pensyarah akan memandu pelajar di bawah bimbingannya mengikut gaya mereka. Untuk berjaya, sentiasalah berjumpa dengan pensyarah pembimbing anda. Mereka juga biasanya akan memberi semangat dan motivasi kepada anda supaya berjaya. Teguran membina daripada mereka kadang-kadang pahit untuk diterima tetapi itulah yang akan membantu anda. Lagipun, mereka penentu markah anda.

2. Sentiasa merujuk pada yang pakar
Walaupun anda merasakan bahawa penulisan anda sudah cukup kuat, anda harus juga berjumpa dengan pakar bidang-bidang tertentu untuk mendapatkan rujukan tambahan. Jika tidak, penulisan anda akan menjadi penulisan yang tidak bermakna. Kebiasaannya orang yang pakar dalam bidang mereka ini tidak lokek ilmu, sangat suka membentangkan panjang lebar mengenai ilmunya. Lagi rajin anda berjumpa mereka, lagi banyak ilmu anda dapat. Pakar yang kita jumpa tidak semestinya pensyarah pembimbing tetapi pakar dalam bidang yang ingin dipelajari dan diterokai. Seperti pembimbing saya, beliau meminta kami di bawah kelolaannya berjumpa sekurang-kurangnya tiga pakar untuk mengesahkan soalan soal selidik, soalan temu bual dan analisis pemerhatian.

3. Berbincang dengan rakan
Wujudkan satu kumpulan semasa membuat penulisan ilmiah. Dengan adanya kumpulan ini, anda boleh bertukar-tukar pandangan, kaedah dan bahan rujukan (Bukan bermaksud kesemua dalam kumpulan itu mempunyai isi kandungan yang sama ye). Kaedah ini diperkenalkan oleh pensyarah pembimbing saya dan pada saya kaedah ini sangat berkesan untuk diaplikasikan kepada penulis baru kerana disamping bertukar idea, setiap ahli kumpulan akan bersama-sama memberi semangat kepada semasa ahli supaya meneruskan perjuangan menyiapkan penulisan ilmiah yang sedang diusahakan.

4. Membuat lebih rujukan penulisan sebelumnya 
Anda perlu mendapatkan banyak rujukan terhadap penulisan yang berkaitan dengan tajuk yang akan anda tulis. Rujukan perlulah dari sumber berbentuk buku dan tulisan ilmiah juga. Saya akan berkongsi tips membuat rujukan ini dalam catatan akan datang. Rujukan yang dibuat bolehlah dimasukkan ke dalam Kajian Literatur anda. Mulakan pencarian rujukan daripada tajuk yang umum kepada tajuk kajian yang lebih khusus. Ini membolehkan setiap perenggan berkait dan jelas. Selain itu, rujukan mengenai kaedah kajian, kerangka teori dan kerangka konsep kajian yang ingin dipilih perlu juga didapatkan. Perkara ini penting kerana rujukan dan dapatan daripada rujukan inilah yang menentukan hala tuju kajian dan penulisan anda.

5. Minta bantuan pelajar senior 
Walaupun saya diberi bimbingan oleh pensyarah pembimbing, beliau juga telah menyarankan saya berjumpa dengan beberapa pelajar senior yang sedang membuat laporan projek akhir di bawah selian beliau untuk mendapatkan maklumat dan tunjuk ajar yang lebih mendalam mengenai kaedah penulisan dan kajian yang mereka buat. Perkara ini sangat merumitkan saya pada ketika itu kerana saya tidak tinggal di kampus dan belajar secara separuh masa. Namun, setiap nasihat pensyarah itu ada baiknya. Banyak tips dan ilmu yang saya perolehi daripada mereka. Belajar bersama rakan pelajar lebih santai berbanding dengan pensyarah. Istimewanya kami dapat bertukar-tukar bahan rujukan (bukan tiru rujukan mereka bulat-bulat).

Di sini saya sertakan beberapa bahan rujukan yang boleh digunakan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai tulisan ilmiah  :
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan dapat membantu rakan-rakan sekalian membuat satu penulisan yang baik dan mantap. Usaha, berjaya...

Wednesday, 3 December 2014

Contoh Ulasan Artikel

Teks : Aida Ilyani Ali





1. PENGENALAN

Sosiologi bermaksud kajian mengenai sains kemasyarakatan iaitu kajian tentang perhubungan yang dilakukan oleh satu kelompok manusia dengan kelompok manusia yang lain dari segi tingkah laku dan pergaulan. Salah satu aspek yang penting dalam kemasyarakatan ialah bahasa. Artikel "Fungsi Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan"
yang dipetik dari Majalah Dewan Masyarakat oleh Rohaidah dan Sham membincangkan peranan Bahasa Melayu bermula dari yang dinyatakan dalam Laporan Razak 1956 sehingga kini. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Daripada Kamus Dewan Edisi ke Empat, fungsi bermaksud tugas, kerja atau peranan. Menurut Kamus Pelajar Edisi kedua, bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diterima dan digunakan oleh rakyat sesebuah negara sebagai alat perhubungan dan juga menjadi kebanggaan negara. Pendidikan pula bermaksud perihal atau perbuatan mendidik. Maka, artikel i ni berkisar mengenai peranan bahasa yang dipakai oleh masyarakat Malaysia dalam mendidik anggota masyarakat. Oleh kerana bahasa merupakan salah satu elemen yang terdapat di dalam sosiologi pendidikan, maka artikel ini dipilih untuk diulas.


2. ISU DARI ARTIKEL

Daripada artikel ini, pelbagai isu berkaitan sosiologi dapat dikupas antaranya mengenai peranan Kementerian Pengajian Tinggi, pelajar asing, perpaduan kaum dan kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri. Isu-isu ini menggambarkan teori-teori utama di dalam sosiologi iaitu teori fungsionalisme struktur, teori interaksi simbolik dan teori konflik.

i. Peranan Kerajaan

Menurut teori fungsionalisme struktur, masyarakat haruslah mempunyai peraturan, bersifat tertib mengikut panduan dari peraturan yang digubal oleh organisasi yang dibentuk dari persetujuan masyarakat itu sendiri. Di sini, peranan Kementerian Pengajian Tinggi yang merupakan satu organisasi yang dibentuk oleh kerajaan yang dipilih rakyat adalah sangat penting dalam membentuk masyarakat berbilang kaum dan bangsa di nagara ini. Daripada artikel ini, didapati kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi telah mewajibkan kesemua 65 ribu orang pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia agar mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Perkara ini pastinya mendatangkan konflik bagi para pelajar. Ini menunjukkan teori konflik juga terlibat dalam perkara ini. 

Teori konflik menjelaskan bahawa konflik merupakan aspek tetap dalam sesebuah masyarakat iaitu konflik dilihat perlu bagi menghasilkan perubahan di dalam sesebuah masyarakat. Dalam perkara ini, kerajaan menggunakan unsur konflik bagi membolehkan satu perubahan berlaku kepada pelajar asing yang belajar di negara kita. Dengan mewajibkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing di negara ini, diharap pelajar-pelajar asing ini akan memahami budaya setempat dengan lebih baik dan sekali gus mengembangkan dan menambah bilangan penutur bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Hal ini juga telah menjadi perhatian masyarakat yang tergolong dari para ilmuwan. Mereka berasa langkah tersebut merupakan satu langkah yang dapat meletakkan semula kedudukan bahasa Melayu sebagai satu perkara yang bernilai dalam sistem pengajian tinggi di negara ini.

ii. Pembudayaan

Dari aspek kemasyarakatan, peranan bahasa dilihat sangat relevan dalam pengekalan dan penyampaian budaya setempat. Berdasarkan teori fungsionalisme struktur, institusi pendidikan dikatakan merupakan satu alat untuk menerapkan budaya masyarakat kepada generasi muda. Oleh itu, peranan Kementerian Pengajian Tinggi yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan adalah sangat perlu. Tindakan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu kepada pelajar asing merupakan satu cara pembudayaan pertuturan bahasa setempat. Ini menunjukkan berlakunya penyebaran budaya secara tidak langsung kepada pelajar-pelajar tersebut. 

Daripada artikel ini, penulis mendapati kajian terdahulu telah membuktikan Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca. Oleh itu, pembudayaan bahasa ini mampu meningkatkan interaksi sosial di antara pelajar asing dan penduduk setempat. Ini sangat berkait dengan teori internasionalisme simbolik yang menekankan bagaimana manusia berinteraksi antara satu sama lain dalam suasana harian dan memanfaatkan hubungan tersebut. Selain daripada membantu pelajar asing dalam memahami pelajaran yang dipelajari, mereka juga dapat melakukan aktiviti lain seperti membeli-belah, beriadah dan bersukan dengan lebih mudah kerana mudah memahami budaya masyarakat melalui Bahasa Melayu. 

Dari aspek teori konflik pula, para pelajar dilihat sebagai golongan lemah yang terpaksa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu kerajaan bertindak sebagai kumpulan yang berkuasa.

iii. Perpaduan Kaum

Artikel menjelaskan bahawa pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Oleh itu, kerajaan melalui Laporan Razak 1956 yang digubal menyatakan bahawa, tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar iaitu Bahasa Melayu. Namun, proses ini tidak dapat dilakukan dengan mendadak. Ini kerana perkara ini merupakan satu perkara yang melibatkan pandangan masyarakat yang berbilang kaum yang bukan mudah untuk menerima suatu perubahan terutamanya bangsa lain seperti Cina dan India. 

Situasi ini dibuktikan apabila sekolah jenis kebangsaan masih menggunakan bahasa ibunda masing-masing berbanding bahasa kebangsaan. Selain itu, warga kerja sekolah jenis kebangsaan juga dilihat masih memandang serong guru-guru yang tidak sama bangsa memasuki sekolah mereka. Menurut Candra, (1996) dan Mohammad Kamil & Rahimin Affandi (2009), sikap negatif terhadap Bahasa Melayu oleh bangsa bukan melayu adalah kerana mereka tidak menjiwai bahasa Melayu dan sejarah bahasa itu sendiri selain mementingkan kaum mereka serta mereka juga menunjukkan sikap menghalang nila-nilai murni yang ingin dipupuk dengan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini dengan jelas menggambarkan mengapa dasar pendidikan negara sukar di aplikasi dan inspirasi negara sukar dicapai. Sepatutnya hal-hal sebegini tidak wujud kerana Laporan Razak telah menjelaskan dengan nyata bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan pada masa itu adalah bertujuan untuk membentuk perpaduan kaum di negara ini. Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah melakukan proses integrasi di institusi pendidikan.


Menurut Syed Othman & Hasnan (2001), dasar pelajaran kebangsaan adalah lebih menjurus kepada usaha kerajaan menyatupadukan semua murid daripada semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Proses integrasi dilihat dapat dilakukan dengan mudah apabila aspek pembangunan insaniah ditekankan sejajar dengan hala tuju negara untuk menjadi negara maju. Artikel ini juga ada menyentuh tentang Laporan Rahman Talib (1960) mengenai kedudukan sekolah rendah yang ditukar kepada sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Tujuan utama penukaran kedudukan ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan kaum di samping memantapkan lagi kedudukan bahasa Melayu secara berperingkat dalam sistem pendidikan kebangsaan.

iv. Kedudukan Bahasa Melayu

Kedudukan Bahasa Melayu merupakan satu perkara yang sering menjadi persoalan oleh para ilmuwan. Artikel ini menyentuh juga mengenai kedudukan Bahasa Melayu yang dilihat fungsinya semakin dikecilkan walhal sekiranya kedudukan Bahasa Melayu diletakkan sama taraf dengan bahasa ibunda masyarakat dan bahasa antarabangsa, maka martabat bangsa Malaysia akan menjadi lebih kuat dan mendorong kepada kemajuan yang pesat. Hassan (Kongres Pendidikan Melayu Ke-2, 2005) menjelaskan martabat bahasa memberi maksud taraf sesuatu bahasa itu sebagai alat mengukur kemajuan bangsa dan negara iaitu setakat manakah bahasa itu digunakan oleh segenap lapisan masyarakat. Ini dijelaskan dalam fungsi konflik iaitu untuk menggambarkan sifat sesebuah sistem yang dinamik. 

Kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran juga telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996)( Portal Maklumat Rakyat, 2012). Walaupun begitu, menurut akta tersebut, bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia masih boleh digunakan seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Oleh kerana adanya kebebasan ini, bahasa Melayu seakan dipinggirkan oleh kaum tersebut. Perkara ini juga menyebabkan pelajar yang belajar di sekolah jenis kebangsaan kurang mengetahui matlamat dan kepentingan penggunaan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu yang kurang ditekankan menyebabkan kedudukan bahasa ini dilihat tidak penting. Selain itu, bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara. Kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa-bahasa antarabangsa yang lain khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa. Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan menukar semula sistem pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu semula. Dari ini, dilihat kedudukan Bahasa Melayu merupakan perkara penting yang perlu dipertingkatkan di kalangan masyarakat. 


3. KESIMPULAN

Kesimpulan yang boleh dibuat dari artikel Fungsi Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan ini ialah bahasa merupakan satu perkara yang sangat perlu diselaraskan penggunaannya bagi membolehkan sesebuah negara bangsa itu maju dan kuat. Selain daripada itu, bahasa yang dijiwai oleh masyarakat akan melambangkan kedudukan perpaduan di dalam sesebuah negara itu. Adalah sangat bererti sekiranya Bahasa Melayu dapat dimartabatkan selaras dengan fungsinya yang mampu menjana kepada kesepaduan masyarakat Malaysia.

Nota : Ulasan artikel ini adalah berdasarkan tugasan saya semasa mengikuti program Sarjana. Pada masa itu, saya masih tercari-cari bagaimana untuk membuat ulasan yang baik kerana saya dari bidang berbeza semasa di peringkat sarjana muda. Tapi rakan-rakan, jika kita berguru, berkongsi ilmu dan berusaha, kita pasti boleh mengatasi masalah ini. Ingat, buat setiap tugasan ilmiah anda dengan usaha anda. Jangan plagiat. Biarlah salah di mata guru atau pensyarah, jangan salah di sisiNya. Bergurulah...